BAGAIKAN menjadi ikutan, satu per satu artis solo dan berkumpulan dari Indonesia ingin mencuba nasib mereka di Malaysia.
Ini kerana lagu-lagu yang dinyanyikan oleh artis dari negara itu semakin menjadi pilihan pendengar di negara ini terutamanya golongan remaja.
Selain beberapa nama besar antaranya Sheila On Seven, Peterpan dan Dewa 19 yang berjaya mendominasi irama muzik di negara ini, satu lagi kumpulan dari Indonesia iaitu Letto turut mengintai peluang yang ada.
Mereka juga ingin menjadi seperti rakan-rakan mereka yang sudah lama mencipta nama di negara ini.
Bersandarkan kepada populariti lagu Ruang Rindu dan Sandaran Hati menerusi album mereka Truth, Cry And Lie, empat anggota kumpulan ini menaruh keyakinan terhadap sambutan album daripada peminat mereka.
Noe, Patub, Arian dan Dedi tentunya menaruh harapan besar populariti lagu itu di dua stesen radio popular iaitu Era dan Hot FM akan mampu memikat hati pendengar mereka di negara ini.
‘‘Kami sekadar ingin mencuba sama ada lagu-lagu kami berjaya atau tidak di sini. Ternyata sambutan yang baik melapangkan dada kami dan seterusnya memaksa kami untuk mempromosikan album di Malaysia,’’ kata mereka.
Hakikatnya kumpulan itu walaupun baru, mereka sudah mendapat tempat yang baik di hati pendengar.
Lagu-lagu mereka mungkin bersesuaian dengan cita rasa remaja ketika ini sehingga melayakkannya terjual melebihi 380,000 unit di Indonesia sehingga membolehkan mereka membawa pulang anugerah platinum berkembar.
Itulah dinamakan rezeki di atas kegigihan mereka sejak awal-awal lagi bertapak di dalam bidang muzik.
‘‘Kami meminati muzik sejak di kampung halaman kami lagi di Yokyakarta dan ternyata usaha gigih kami itu dihargai selepas album kami terjual pada jumlah itu di pasaran Indonesia,’’ katanya.
Penjualan itu menyebabkan empat anak muda tersebut menaruh keyakinan tinggi bakat mereka akan diterima oleh peminat muzik di negara ini.
Lebih menggembirakan, kejayaan mereka itu semakin terserlah selepas meraih kejayaan dalam katogeri Duo/Kumpulan Baru Terbaik, Anugerah Muzik Planet di Singapura pada 8 Jun lalu.
Ia perkembangan yang baik untuk Letto memasuki pasaran album di Malaysia dan juga Singapura.
Truth, Cry And Lie sudah berada di pasaran Malaysia sejak 4 Jun lalu edaran Life Records.
Selain dari muzik, Letto juga dilihat mempunyai kekuatan dari segi tulisan liriknya. Setiap bait yang dicoret cuba dialun supaya mempunyai nilai yang puitis dan mampu meruntun jiwa mereka yang menghayatinya.
Noe yang mengarang bait-baik lirik dalam album itu mengaku kebanyakan daripada lagu-lagu Letto terdiri daripada pesan puitis yang tertumpu kepada soal kehidupan dan cinta.
‘‘Sebahagian besar daripada lagu-lagu ini sebenarnya banyak aspirasi dari pengalaman peribadi saya,’’ tambahnya.
Noe menjelaskan, Truth, Cry And Lie adalah proses kreatif yang mengalir jujur dan bukan sekadar gaya atau ikut-ikutan. Ia merupakan perkara penting yang cuba disampaikan melalui album tersebut.
”Truth itu bererti kebenaran. Kebenaran itu titiknya jelas. Begitu juga dengan Lie. Manakala Cry itu saya sebut sebagai titik yang ekstrem. Ia berada di tengah-tengah.
”Cry itu emosi yang berada betul-betul di titik kebenaran dan kesalahan. Kalau sedih, orang akan menangis. Kalau gembira juga orang akan menangis. Tiga hal ini telah dipilih menjadi tema keseluruhan untuk album ini,’’ cerita Noe lagi.
Selepas hampir dua bulan album berkenaan berada di pasaran Malaysia, mereka akan berada di Kuala Lumpur selama enam hari bermula esok.
Kehadiran Letto di Malaysia bukan sahaja untuk melancarkan album berkenaan tetapi juga akan turut mengadakan showcase pertama secara percuma sebagai penghargaan kepada peminat yang telah menerima lagu-lagu mereka.
Persembahan tersebut dijadual berlangsung pada 27 Julai ini pukul 8 malam yang dibawa oleh Life Records dengan kerjasama dari PT Musica Studio‘s Indonesia. Ia akan diadakan di pusat hiburan Ruums, Life Centre, Kuala Lumpur.
Selain empat anak muda itu, artis Malaysia iaitu Farahwahida akan turut membuat persembahan yang akan mendendangkan empat buat lagu hebatnya iaitu Semuanya Ada Di Sini, Buah Hati, Rakus dan Tanpa Mu.
http://www.utusan.com.my
LETTO on Facebook
Thursday, July 26, 2007
Letto Intai Peluang di Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment