LETTO on Facebook

Sebelum Cahaya (Video Clip)

Thursday, July 26, 2007

Letto Buat Kejutan

HAMPIR dua bulan album sulung Letto, Truth Cry & Lie menjengah pasaran Malaysia, band yang kini setanding dengan kumpulan Peter Pan, Radja, Ungu dan Nidji itu akan berkampung di Malaysia bermula 23 hingga 28 Julai ini.

Kehadiran band dianggotai anak jati Jogjakarta, iaitu Noe selaku vokalis dan pemain gitar, Patub (gitar akustik), Arian (bass) dan Dedy (dram) ini bukan saja bertujuan melancar dan mempromosikan album berkenaan, malah menjayakan persembahan istimewa yang dinamakan Letto Live In Kuala Lumpur untuk menghargai pencinta seni yang menyokong mereka.

Persembahan di Ruums, Life Centre pada 27 Julai bermula jam 8 malam itu dibawa oleh Life Records dengan kerjasama PT Musica Studio’s Indonesia, Radio Era, DiGi, AirAsia, Hotel Armada, ntv7 serta One Stop Music.

Ia akan dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh Farawahida yang dijangka membawa empat lagu iaitu Semuanya Ada Di Sini, Buah Hati, Rakut dan Tanpamu.

Dalam perbualan menerusi telefon baru-baru ini, band yang dinobatkan sebagai Duo/Kumpulan Baru Terbaik, Anugerah Planet Muzik 2007 (APM’07) itu menyuarakan rasa tidak sabar bertemu pencinta muzik Malaysia.

“Syukur selepas APM, lagu kami mula kedengaran di Malaysia dan Singapura. Kami berbesar hati apabila Life Records sudi mengundang kami ke Kuala Lumpur.

“Memandangkan ini kunjungan pertama, persiapan rapi sudah kami lakukan. Kebetulan sebelum bertolak ke Malaysia, kami ada persembahan di Palembang dan Sumatera, jadi ia menjadi latihan kami untuk memantapkan mutu persembahan nanti.

“Bagi memastikan segala-galanya lancar, kami tidak ketinggalan bertanya pandangan dan tip daripada beberapa kumpulan senior yang pernah beberapa mengadakan persembahan di negara ini.

“Insya-Allah dengan pendedahan ini, kami bersedia bertemu mata dengan peminat dan media di Malaysia,” kata Patub yang tidak menafikan kumpulan mereka meniti populariti selepas lagu mereka menjadi lagu tema empat sinetron popular di republik itu.


Bercerita lanjut mengenai persembahan ini, Noe berkata, orang ramai akan dihiburkan dengan 10 atau 11 lagu yang dipetik daripada album pertama mereka dan sebuah lagu yang hanya dikhaskan untuk konsert, Heart Breaker.

“Lagu ini tidak dimuatkan dalam album kami. Muziknya lebih berat dan ia sangat sesuai untuk persembahan. Akan ada juga kejutan, tapi biar ia menjadi rahsia sehingga tiba hari persembahan nanti.

“Persembahan ini bukan pertunjukan antara penyanyi dengan penonton, tetapi kami sifatkan sebagai pertemuan saudara dari dua negara. Kami bawa persahabatan dan harapnya saudara di Malaysia bisa menerima kami dengan hati terbuka,” kata lulusan Universiti Albertha, Kanada dengan dua gelaran Bacelor Matematik dan Bacelor Fizik ini penuh merendah diri.

Mengulas perkembangan terkini, Dedy menjelaskan, mereka akan melancarkan album kedua di tanah kelahiran mereka bulan depan. Album memuatkan 12 lagu iaitu lapan berbahasa Indonesia dan empat Bahasa Inggeris itu masih mengekalkan ciri album terdahulu.

“Ia masih bernuansakan pop yang turut disuntik pelbagai unsur, antaranya rock, jazz, pelog dan slendro (gamelan Jawa). Malah, cinta tetap menjadi tema utama, tetapi kali ini ia lebih bervariasi dan bersifat universal.

“Setakat ini judulnya Don’t Make Me Sad. Bagaimanapun belum pasti! Mungkin berubah andai difikirkan perlu,” katanya.

Sepanjang seminggu di Kuala Lumpur, band ini akan menghadiri temuramah di stesen radio dan televisyen, selain sesi bertemu peminat dan autograf di kedai muzik Rock Corner Mid Valley Kuala Lumpur pada 24 Julai bermula jam 1 tengah hari hingga 2 petang.

Menariknya, orang ramai yang membeli CD Truth Cry & Lie alam berpeluang menikmati potongan harga 20 peratus dan dua tiket menonton persembahan band ini di Ruums.

Lima puluh pembaca terawal yang membawa keratan artikel ini ke Ruums pada 27 Julai ini juga berpeluang menukarnya dengan dua tiket persembahan berkenaan.

source: http://www.hmetro.com.my

No comments: