Oleh Norhadiani Baharom
Harian Metro Malaysia
SELEPAS kemunculan Samsons yang dikatakan menggugat kebanyakan band muzik handalan di Indonesia, kini giliran Letto pula merampas takhta. Buktinya jelas apabila lagu Ruang Rindu dan Sandaran Hati yang dimuatkan dalam album Truth, Cry And Lie dari Letto bukan saja mendapat tempat di hati peminat Indonesia malah kini di Malaysia.
Lagu Ruang Rindu misalnya sudah membolosi carta Radio Era manakala lagu Sandaran Hati mendaki kedudukan selesa carta Hot. fm serta Carta Hot fm Yang Keren.
Letto dianggotai Sengaja Sabrang Mowo Damar Panuluh atau Noe selaku vokalis, Agus Riyono (gitar), Ari Prastowo (bass) masing-masing berusia 28 tahun serta Dedi Riyono (Dedi), 20, (drum). Letto mempunyai pengertian sebuah nama tanpa erti. Falsafah kumpulan ini jelas apabila memilih nama kumpulan yang tidak mempunyai maksud.
Alasannya supaya muzik yang mereka perjuangkan di persada seni tidak berpaksi pada sifat tertentu. Melalui cara itu, Letto berharap ia dapat menyuntik semangat dan kebebasan berkarya kepada setiap anggota.
Ketika dihubungi melalui telefon di Jakarta, Neo berkata, penubuhan Letto bermula ketika mereka menuntut di sebuah universiti di Jogjakarta. Ketika itu mereka begitu aktif dalam pelbagai bidang kesenian seperti teater, menulis skrip filem, menghasilkan muzik kontemporari dan gamelan termasuk mereka bentuk kulit album.
“Gara-gara terlalu menghargai dan cintakan seni khususnya muzik membuatkan kami serasi sehingga berkawan baik. Meskipun pernah terpisah kerana kesibukan karier dan kuliah namun pada 1999 kami bersatu kembali.
“Asalnya sebelum tertubuhnya Letto, ada di antara kami menjadi buruh bangunan untuk studio Geese. Pada waktu sama kami diberi peluang mengelola dan menggunakan kelengkapan studio itu. Di situlah bermula segalanya apabila sedikit demi sedikit kami mencipta lagu dan merakamkan simpanan karya lagu sedia ada,” katanya.
Tambah Neo, lagu pertama dirakamkan mereka berjudul I'll Find a Way. Waktu itu Letto menggunakan ejaan satu T. Bagaimanapun atas saranan rakan dan guru akhirnya mereka mengirimkan demo ke syarikat rakaman Musical lalu I'll Find A Way diedarkan pada 2004.
Menjurus pada penghasilkan lagu Inggeris, Letto yang berpaksi pada muzik pop tidak berusaha menjadi siapapun atau apapun dalam berkarya atau bermain.
Pada mereka, muzik bukan hanya untuk keperluan masa sekarang atau akan datang kerana muzik sudah dianggap sebahagian dari seluruh proses kreativiti yang sememangnya mereka hajati dan jalani.
“Kami tidak mengharapkan populariti atau menjadi terkenal. Cukuplah sekadar mereka yang melayari karya kami menghargainya.
“Mudah-mudahan usaha keras kami berkarya dan menghasilkan lagu disenangi pendengar dan berharap memperoleh rahmat dan sedikit kesenangan daripada Tuhan,” kata Neo.
Jelas Neo lagi, Letto ingin berkreativiti menghasilkan karya yang mampu memuaskan diri mereka sebagai pemuzik dan pendengar. Justeru mereka menganggap setiap peristiwa yang terjadi dalam hidup sebagai pelajaran.
“Sama sekali kami tidak pernah terfikir akan dikenali seperti hari ini. Kehidupan sebagai artis mengajar kami belajar dan bertahan dalam hidup, belajar mengambil hikmah, belajar bertahan dalam setiap situasi, belajar untuk tetap rendah hati dan semuanya.
“Istiqomah ialah teori dan praktik yang selalu diusahakan ada dalam perjalanan Letto,” katanya.
Album Truth, Cry And Lie yang terjual melebihi 380 ribu unit di Indonesia, bakal menjengah pasaran Malaysia awal Jun ini dan ia diedarkan Life Records.
Sempena pelancarannya, Letto dijangka mengunjungi Malaysia untuk bertemu dengan media tempatan dan peminat. Difahamkan, Letto tidak sabar untuk meraikan peluang ini.
LETTO on Facebook
Friday, May 25, 2007
Letto Perjuang Muzik Bebas
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment